Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest

ARI UiTM raih Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2017 di Kazakhstan

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Institut Penyelidikan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (ARI HICoE UiTM) meraih Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2017 buat kali keempat berturut-turut bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Global dalam Kriminologi Kewangan 2017 di Astana, Kazakhs­tan.

Selain itu, UiTM turut cemerlang apabila Pengarah ARI HICoE UiTM, Prof. Dr. Normah Omar menerima Anugerah Khas GIFA – Advokasi Kriminologi Kewangan Islam atas kepimpinan beliau membawa institut tersebut ke peringkat global dan mempelopori penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen berterusan pasukan ARI HICoE UiTM sebagai pemangkin kecemerlangan dalam agenda penyelidikan kriminologi kewangan Islam negara.

“Di bawah kepimpinan beliau, ARI HICoE telah diiktiraf di peringkat global dengan memenangi anugerah GIFA (2014 – 2017), Anugerah Global ACQ (2015 & 2016), Anugerah Risiko Glo­bal ASEAN (2016) dan Anugerah Tadbir Urus Terbaik Global (2017),” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Majlis GIFA 2017 di Astana turut dihadiri ramai pakar dan profesional daripada industri kewangan Islam seluruh dunia termasuk nama-nama besar dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Eropah, Indonesia dan Pakistan.

GIFA merupakan anugerah paling berprestij dalam industri perkhidmatan kewangan Islam yang memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi terpilih terhadap kejayaan dan amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam.

Penganjuran awal GIFA dimu­lakan oleh Edbiz Consulting, sebuah firma perunding kewa­ngan Islam terkemuka yang berpangkalan di London sejak 2011.

Tahun lalu, ARI HIcoE UiTM berjaya merangkul Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan Terbaik dalam Kewangan Islam yang diadakan di Jakarta, Indonesia manakala Anugerah Perintis Penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam (2015) di Manama, Bahrain dan Anugerah Penyedia Pendidikan Kewangan Islam Terbaik (2014) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Hassan, institut ter­sebut menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan sejak diberi status HICoE pada 2010 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Register.
Enjoy 10% Discount.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

JOIN US.
GET 10% Discount

LATEST POST

More Articles.

GET Notified.

Join Our
Notification
squad