Bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melakukan perubahan terutama dalam menyediakan silibus dan kemahiran bersesuaian dengan transformasi era digital pada masa ini.
Faktor itu perlu dilaksanakan berikutan kepesatan teknologi yang mengubah keperluan industri tempatan sedia ada merangkumi pelbagai sektor termasuk perbankan, perhotelan, telekomunikasi dan media.
Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, industri media turut menerima kesan dengan perkembangan arus digital, sekali gus memerlukan perubahan secara menyeluruh.
“Ketika melakukan lawatan di Jerman baru-baru ini, saya melihat syarikat media negara itu memperuntukkan perbelanjaan besar untuk pelbagai jawatan berkaitan digital seperti penganalisis data, pereka Android dan ketua bahagian perisian.
“Media Prima Berhad (MPB) kini juga ke arah itu dan akan menjadi syarikat media pertama di Malaysia yang beroperasi secara digital sepenuhnya kerana pendapatan syarikat akan datang daripada sektor berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Sesi Pertemuan Universiti-Industri di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut menjadi panel dalam forum itu ialah Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Datuk Jalilah Baba, Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics Datuk Micheal Tio, Pengerusi Dana Pembangunan Sumber Manusia Datuk Abdul Razak Abdul serta Pengarah Akademi Kepemimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Prof Dr Mohamad Kamal Harun.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Menurut Abdul Jalil, bagi memastikan kesinambungan dan perkembangan masa depan sektor industri di negara ini, graduan yang berkemahiran diperlukan dalam membantu sesebuah syarikat.
“Industri akan terus bergerak dan kita tidak boleh hanya terus menunggu. Ia perlu seiring dengan teknologi yang pesat membangun dan kehendak industri berkenaan.
“Sebagai contoh bagi industri media, kita memerlukan pelajar yang mahir dalam teknologi maklumat, animasi dan grafik. IPT atau universiti perlu seiring dengan keadaan itu,” katanya.
Sementara itu, Dr Hassan berkata, objektif forum itu bertujuan membincangkan isu inovasi serantau dan pembangunan ekonomi dengan kecemerlangan dalam penyelidikan pendidikan serta kerjasama semua pihak.
“Kita sedang berada di jurang perubahan besar dengan kemajuan teknologi yang membawa kepada konsep seperti ledakan inovasi, keselamatan siber dan masa depan yang tidak dapat dibayangkan.
“Justeru, program ini bertepatan pada masanya dan kita khuatir akan ketinggalan di dunia yang amat kompetitif terutama untuk generasi akan datang,” katanya.
Sumber – Harian Metro