Menjadikan pengalaman gagal dalam perniagaan sebagai pencetus semangat untuknya berusaha lebih gigih ternyata akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamad Fadzil Misran mendapat kejayaan cemerlang dalam arena akademik.
Mohamad Fadzil, 40, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), 3.93 sekaligus melayakkan bapa kepada empat orang anak itu menerima Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-87
Malah, sepanjang tempoh pengajian secara separuh masa itu, Mohamad Fadzil yang mengambil Pengurusan Pembinaan berjaya memperolehi keputusan penuh 4.00 sebanyak tiga kali meskipun masanya banyak dihabiskan untuk menguruskan syarikat baharunya.
“Alhamdullillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini kerana bekerja sambil belajar memang memeritkan tetapi kegagalan dalam perniagaan banyak mengajar saya untuk tidak mudah berputus asa, sebaliknya perlu terus berusaha memberikan yang terbaik.
“Akhirnya, kejayaan menjadi milik saya walaupun kali ini dalam bidang akademik tetapi insya-Allah jika semangat yang sama dapat saya tunjukkan dalam perniagaan baharu, kejayaan akan menjadi milik saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohamad Fadzil turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Juneza Abu Bakar, 40, yang banyak membantu sepanjang dia melanjutkan pengajian sehingga memberi dorongan tambahan kepadanya untuk berusaha lebih gigih.
Bercerita mengenai kegagalannya, Mohamad Fadzil berkata, selepas tamat pengajian di peringkat diploma kira-kira 17 tahun lalu, dia memilih untuk memulakan perniagaan tetapi syarikatnya itu gagal bertahan dan terpaksa gulung tikar tujuh tahun kemudian.
Selepas itu jelasnya, demi menyara keluarga, dia terpaksa kembali berkerja ‘makan gaji’ dengan sebuah syarikat swasta sebelum akhirnya memutuskan untuk menyambung pengajian di UiTM.
“Keluarga menjadi kekuatan dan sejak setahun lalu saya membuka syarikat Kunlun Synergy dan berharap pengalaman lalu berserta kejayaan dalam akademik berupaya membantu saya untuk membangunkan Kunlun sehingga berjaya,” katanya
Sumber – Utusan Online
Register at https://t.co/VXeEKdqq2e and enjoy 10% discount coupon! Hit us up at https://t.co/W2FAwFep4V pic.twitter.com/TLFqckYznv
— Made in UiTM (@madeinuitm) October 8, 2017



