
SHAH ALAM: Kekangan beriadah yang dihadapi golongan orang kelainan upaya (OKU) mendorong Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Hari Altruisme 2017 pada 25 Mac ini.
Penganjuran hari berkenaan oleh Fakulti Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM juga dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Helping the Underprivileged Groups (HUGs).
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pada masa sama, program julung kali diadakan itu juga dijadikan sebagai platform memangkin aktiviti kemasyarakatan serta kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat.
“Lebih menarik, program ini dijadualkan akan dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selain kita mahu menjemput beberapa artis bagi memeriahkan majlis.
“Dengan menggunakan tema ‘Altruisme Menjana Kesejahteraan Masyarakat’, kami harap program ini akan memupuk semangat dalam kalangan pelajar APB ke arah menyumbang khidmat kepada masyarakat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Hari Altruisme 2017 itu membabitkan dua teras iaitu Teras Pertama merangkumi acara Larian Amal 1 Kilometer (km), 5 km dan kerusi roda; futsal untuk golongan cacat penglihatan dan karnival serta pameran.
Teras Kedua membabitkan acara seperti Bicara Profesional, Forum, Sesi Perkongsian dan Pertandingan Anak OKU – Berita Harian